Karangan akan sempurna dengan unsur-unsur yang membina karangan seperti perkataan, frasa, klausa dan ayat, idea atau isi serta pengetahuan atau pengalaman. Sekiranya tidak ada salah satu unsur tersebut maka karangan yang dibina tidak akan sempurna. Karangan boleh diibaratkan seperti manusia yang mana setiap manusia mempunyai kepala, bahagian tengah dan anggota bawah untuk menjadi manusia yang lengkap fizikalnya. Hal ini demikian kerana karangan yang sempurna perlu ada pendahuluan, isi dan penutup.
Setelah memilih tajuk karangan yang dapat dikuasai isi atau faktanya dengan baik maka pelajar perlu mengetahui idea pusat karangan itu. Idea pusat ialah perkara atau isu yang ingin dibincangkan atau idea keseluruhan atau tema. Dalam erti kata lain, pelajar perlu mengetahui kunci iaitu kehendak sesuatu tajuk. Hal ini bagi mengelakkan pelajar menulis isi karangan yang terpesong atau terkeluar daripada tajuk.
Membina perenggan
Setiap karangan harus mempunyai perenggan-perenggan tertentu. Pelajar perlu membina satu perenggan untuk pendahuluan dan satu perenggan untuk penutup. Pelajar perlu membina isi bergantung kepada jumlah isi utama atau isi besar. Jumlah isi utama yang dianggap memadai untuk sesebuah karangan ialah tiga atau empat.
Satu perenggan hendaklah dibangunkan oleh satu isi utama sahaja. Hal ini demikian kerana jumlah perenggan untuk isi ialah tiga sekiranya terdapat tiga isi utama. Karangan tersebut biasanya mempunyai lima atau enam perenggan dengan isi yang tersusun agar karangan akan menjadi lebih menarik untuk dibaca dan menggambarkan penguasaan teknik penulisan karangan yang berkesan.
Bagi memudahkan pelajar membina perenggan, pelajar harus menentukan jumlah ayat yang perlu ditulis seelok-eloknya lima ayat bagi memudahkan proses mengimbangkan ayat huraian dan jumlah perkataan bagi keseluruhan karangan.
1. Perenggan Pendahuluan
Perenggan pendahuluan memperkenalkan tajuk karangan kepada pembaca yang mana dalam perenggan ini tidak boleh memasukkan sebarang isi. Pelajar perlu menyatakan hal yang berkait rapat dengan tajuk yang ditetapkan atau memberi perkenalan kepada tajuk karangan supaya pembaca lebih tertarik untuk membaca perenggan seterusnya.
Selain itu, pendahuluan boleh dibina dengan tiga hingga lima ayat. Karangan bermula dengan satu ayat pengenalan yang akan membawa pembaca untuk memahami tajuk dan isi secara umum diikuti oleh dua atau tiga ayat huraian. Ayat huraian itu bertujuan untuk menyokong atau menghuraikan kenyataan dalam ayat pengenalan.
Perenggan pendahuluan akan diakhiri oleh satu ayat fokus yang membawa pembaca secara tegas kepada tujuan atau arah karangan iaitu persoalan yang hendak dibincangkan dalam bahagian isi nanti.
Contoh pendahuluan :
(1) Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keistimewaan tersendiri. (2) Ramai pelancong sama ada dari luar ataupun dalam memilih negara kita sebagai destinasi pelancongan. (3) Kedatangan pelancong ke negara dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara kita. (4) Pelancong yang datang dari negara luar harus menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh berbelanja di sini. (5) Persoalannya, apakah kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita?
Huraian :
Dalam perenggan di atas, ayat (1) ialah ayat pengenalan manakala ayat (2) hingga ayat (4) ialah ayat huraian. Ayat (5) merupakan ayat fokus berbentuk persoalan yang memberikan bayangan terhadap tajuk utama iaitu “kepentingan industri sektor pelancongan”.
2. Perenggan isi
Jumlah perenggan isi bergantung kepada jumlah isi utama kerana setiap satu isi dihuraikan dalam satu perenggan supaya karangan lebih kemas dan tersusun. Pembaca juga akan mudah mengenalpasti isi utama da nisi sampingan. Penyusunan isi utama pula disusun mengikut kepentingan yang lebih penting dan dihuraikan dengan jelas.
Setiap perenggan isi boleh dihuraikan dengan lima ayat bermula dengan satu ayat topik iaitu ayat yang menyatakan isi utama. Ayat topik juga boleh diletakkan di tengah atau bahagian akhir perenggan bergantung kepada ayat huraian. Tetapi, ayat topik lebih baik diletakkan di awal perenggan bagi memudahkan pelajar membuat dua hingga empat huraian. Ayat ini mengandungi isi sampingan atau sokongan kepada ayat topik dan dimasukkan contoh yang difikirkan sesuai dengan ayat huraian.
Contoh perenggan isi :
(1) Antara kepentingan sektor pelancongan ialah kita dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di Malaysia kepada para pelancong. (2) Malaysia mempunyai banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati terutamanya yang terletak di negeri Melaka. (3) Di Kota A-Famosa pelancong bukan sahaja dapat menambahkan ilmu sejarah tetapi juga beriadah kerana tempat beriadah seperti Bandar Cowboy, Dunia Binatang Safari dan Dunia Air turut disediakan. (4) Negara akan mendapat sumber pendapatan tambahan tanpa bergantung kepada sektor perindustrian, pertanian, dan pembalakan sekiranya sektor pelancongan dapat menambat hati dan menarik kedatangan para pelancong ke negara kita,. (5) Jelasnya, sektor pelancongan dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di negara kita serta meningkatkan ekonomi negara.
Huraian :
Ayat (1) merupakan ayat topik iaitu ayat yang menyatakan isi utamanya, “mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di Malaysia kepada para pelancong”. Ayat yang berikutnya merupakan ayat huraian iaitu ayat (2) dan ayat (3) memberikan contoh tempat beriadah manakala ayat (4) yang menerangkan kesan yang bakal diperoleh sekiranya “mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di Malaysia kepada para pelancong”.
3. Perenggan penutup
Perenggan ini berfungsi untuk membuat rumusan secara keseluruhan segala idea yang telah dicurahkan dalam perenggan-perenggan sebelumnya. Pelajar boleh membina perenggan ini dnegan menggunakan tiga hingga lima ayat. Namun begitu, pelajar tidak dibenarkan untuk mengulang kembali apa yang telah dituliskan dalam perenggan pendahuluan. Terdapat beberapa cara menulis penutup yang mudah seperti menyatakan semula, membuat ramalan dan membuat cadangan atau harapan. Walau bagaimanapun, pemilihan teknik penutup perlu sesuai dengan jenis karangan yang ditetapkan. Sekiranya pelajar memilih penutup cara membuat ramalan, pelajar akan mudah menghuraikan kemungkinan yang akan berlaku.
Contoh penutup :
(1) Kesimpulannya, sektor pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi yang amat penting dalam negara kita. (2) Kita harus menggunakan kelebihan yang ada pada negara kita dengan sepenuhnya supaya negara kita dapat menjadi pusat pelancongan yang terkenal di dunia dan seterusnya membangunkan ekonomi negara kita. (3) Walaupun masyarakat kita terdiri daripada berbilang kaum, kita harus bersatu padu demi menjaga kepentingan tanah air tecinta kita. (4) Tegasnya, kita perlulah bersatu-padu bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Huraian :
Ayat (1) merupakan ayat topik iaitu ayat yang ingin ditegaskan dalam perenggan penutup. Ayat (2) dan (3) merupakan ayat huraian dan ayat (4) merupakan ayat penegasan yang diselitkan peribahasa supaya karangan lebih menarik dan kemas.