Karangan yang baik harus diolah dengan mengembangkan isi iaitu menghuraikannya sambil mengemukakan bukti atau contoh yang sesuai. Dalam hal ini, guru jarang-jarang mendengar pelajar menghadapi masalah untuk mendapatkan isi karangan. Namun demikian, kebiasaannya pelajar menghadapi masalah untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan tersebut. Mereka selalunya menghadapi masalah untuk mengembangkan isi tersebut agar menjadi satu kesatuan idea dalam perenggan-perenggan karangan. Isi tersebut perlu dikembangkan menjadi satu pertautan idea antara satu perenggan dengan perenggan yang lain.
Pelajar juga selalunya menghadapi masalah untuk menulis karangan yang menepati jumlah perkataan, seperti yang dikehendaki oleh soalan. Kerap kali berlaku, pelajar menulis karangan yang jumlah perkataannya kurang daripada yang telah ditetapkan oleh soalan. Perenggan karangan juga biasanya tidak seimbang kerana terdapat perenggan yang panjang dan ada pula perenggan yang pendek. Perkara ini berlaku kerana pelajar tidak mempelajari teknik atau cara yang boleh membantu mereka untuk mengembangkan isi karangan agar seimbang antara perenggan. Oleh hal yang demikian, saya akan membincangkan teknik atau cara-cara untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan.
Keperluan Soalan
Pelajar dikehendaki menulis sebuah karangan yang panjangnya hendaklah melebihi 350 patah perkataan. Untuk menghasilkan karangan yang baik, empat proses yang berikut perlu diikuti oleh pelajar, iaitu:
i. Membaca semua soalan
ii. Membuat pemilihan dan perancangan
iii. Menulis karangan
iv. Membuat semakan
Selepas proses pertama dan kedua itu dilakukan, barulah pelajar akan menjalankan proses yang ketiga iaitu menulis karangan. Proses menulis karangan akan melibatkan pengolahan dan pengembangan isi karangan yang diperoleh dalam proses yang kedua. Proses inilah yang paling rumit dan mencabar kebolehan, kemahiran dan pengetahuan pelajar. Oleh hal yang demikian, proses yang ketiga ini perlulah diberikan tumpuan utama kerana markah karangan murid akan ditentukan oleh proses yang ketiga ini.
Teknik Mengolah Karangan dengan Menggunakan Formula
1. Pendahuluan
i. IKCHF (IKCHF- Isi, Kesan, Contoh, Huraian, Fokus soalan)
(I) Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keistimewaan tersendiri. (K) Ramai pelancong sama ada dari luar ataupun dalam memilih negara kita sebagai destinasi pelancongan. (C) Kedatangan pelancong ke negara dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara kita. (H) Pelancong yang datang dari negara luar harus menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh berbelanja di sini. (F) Persoalannya, apakah kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita?
2. Isi Karangan
i. 5W1H (Apa, Siapa, Mengapa, Bila, Di mana, dan Bagaimana)
(APA) Antara kepentingan sektor pelancongan ialah (SIAPA) kita dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di Malaysia kepada para pelancong. (MENGAPA) Malaysia mempunyai banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati terutamanya yang terletak di negeri Melaka. (DI MANA) Di Kota A-Famosa pelancong bukan sahaja dapat menambahkan ilmu sejarah tetapi juga beriadah kerana tempat beriadah seperti Bandar Cowboy, Dunia Binatang Safari dan Dunia Air turut disediakan. (BAGAIMANA) Negara akan mendapat sumber pendapatan tambahan tanpa bergantung kepada sektor perindustrian, pertanian, dan pembalakan sekiranya sektor pelancongan dapat menambat hati dan menarik kedatangan para pelancong ke negara kita. Jelasnya, sektor pelancongan dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di negara kita serta meningkatkan ekonomi negara.
3. Penutup/kesimpulan
i. Kena Hati-Hati (Kesimpulan, Hurai, Harapan)
(K) Kesimpulannya, sektor pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi yang amat penting dalam negara kita. (H) Oleh itu, kita harus menggunakan kelebihan yang ada pada negara kita dengan sepenuhnya supaya negara kita dapat menjadi pusat pelancongan yang terkenal di dunia dan seterusnya membangunkan ekonomi negara kita. Walaupun masyarakat kita terdiri daripada berbilang kaum, kita harus bersatu padu demi menjaga kepentingan tanah air tecinta kita. (H) Tegasnya, kita perlulah bersatu-padu bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Nota Tambahan
Teknik yang dibincangkan tadi diharapkan dapat membantu pelajar dalam menghurai dan mengembangkan isi karangan dengan baik. Diharapkan juga pelajar dapat membina setiap perenggan karangan dengan teratur dan kemas. Perenggan pendahuluan, perenggan isi, dan perenggan kesimpulan akan menjadi seimbang jika olahan dan huraian dirancang dengan baik dan jumlah perkataan yang dikehendaki akan dapat dipenuhi oleh pelajar.