15 May

           Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Ramai pelancong sama ada dari luar ataupun dalam memilih negara kita sebagai destinasi pelancongan. Kedatangan pelancong ke negara dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara kita. Pelancong yang datang dari negara luar harus menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh berbelanja di sini Persoalannya, apakah kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita?

           Antara kepentingan sektor pelancongan ialah kita dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di Malaysia kepada para pelancong. Malaysia mempunyai banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati terutamanya yang terletak di negeri Melaka. Di Kota A-Famosa pelancong bukan sahaja dapat menambahkan ilmu sejarah tetapi juga beriadah kerana tempat beriadah seperti Bandar Cowboy, Dunia Binatang Safari dan Dunia Air turut disediakan. Negara akan mendapat sumber pendapatan tambahan tanpa bergantung kepada sektor perindustrian, pertanian, dan pembalakan sekiranya sektor pelancongan dapat menambat hati dan menarik kedatangan para pelancong ke negara kita,. Jelasnya, sektor pelancongan dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di negara kita serta meningkatkan ekonomi negara.

            Selain itu, sektor pelancongan dapat mempromosikan makanan setempat di negara kita. Malaysia mempunyai beraneka jenis makanan yang digemari oleh pelancong. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia seperti Melayu, Cina dan India mempunyai kepelbagaian makanan berdasarkan kaum seperti yi sang, mi hailam dan char kuey teow daripada kaum Cina, rendang, ketupat dan nasi lemak daripada kaum Melayu dan capati, tosai dan idli daripada kaum India. Sekiranya, masyarakat Malaysia cakna dengan kepelbagaian masakan dan makanan tempatan serta mengambil kesempatan dengan kelebihan berkenaan dengan menyajikan menu berkenaan di premis mereka untuk dinikmati pelancong asing, sama ada di gerai-gerai makanan, restoran, dan hotel sudah pasti mereka dapat meningkatkan pendapatan sambil memperkasa sektor pelancongan. Tegasnya, makanan setempat dapat dipromosikan melalui sektor pelancongan untuk menggamit kehadiran pelancong asing.

      Di samping itu, sektor pelancongan dapat memperkenalkan dan mengembangkan industri kraf tangan di Malaysia. Kedatangan pelancong asing ke Malaysia bukan sahaja memajukan industri kraf tangan di negara kita bahkan menjadi periuk nasi kepada pengusaha kraf tangan tempatan. Barangan kraf tangan buatan rakyat tempatan bukan sahaja bermutu bahkan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Pelancong pasti membeli-belah barangan kraf tangan buatan Malaysia seperti batik, kain songket, wau dan lain-lain sebagai buah tangan atau ole-ole buat keluarga atau rakan mereka. Sekiranya promosi yang hebat dilakukan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia di samping promosi agen-agen pelancongan yang terdapat di negara kita, sudah pasti bukan sahaja pengusaha pelancongan sahaja yang menerima kesan dari segi pertambahan pendapatan mereka tetapi juga penduduk tempatan yang menjalankan perusahaan kecil dan kraftangan juga menerima tempiasnya. Jelasnya, industri kraf tangan dapat dimajukan melalui sektor pelancongan.

          Kesimpulannya, sektor pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi yang amat penting dalam negara kita. Oleh itu, kita harus menggunakan kelebihan yang ada pada negara kita dengan sepenuhnya supaya negara kita dapat menjadi pusat pelancongan yang terkenal di dunia dan seterusnya membangunkan ekonomi negara kita. Walaupun masyarakat kita terdiri daripada berbilang kaum, kita harus bersatu padu demi menjaga kepentingan tanah air tecinta kita. Tegasnya, kita perlulah bersatu-padu bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Komen
* E-mel tidak akan diterbitkan di laman web.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING