Penulisan Karangan Fakta

Kaedah Penulisan Isi, Bahasa dan Pengolahan


Siti Aishah binti Baharum
D20171077700
Dr. Nur Farahkhanna Binti Mohd Rusli
Pensyarah Kursus BMP3093

Pengenalan

Mengikut Zaaba (Buku Ilmu Mengarang Melayu)

“Mengarang ertinya membuat beberapa ayat yang saling berhubungan dengan betul dan menceritakan sesuatu perkara. Tiap-tiap ayat itu dijadikan daripada beberapa perkataan yang tersusun dengan betul pula hingga cukup memberi faham akan maksud yang disebutkan itu.”

Karangan yang baik dan berkesan

Mari kita lihat bagaimana cara hendak membina karangan yang menepati kriteria yang ditetapkan.

Karangan Bahagian B SPM

Keperluan soalan

Lima soalan dikemukakan dan anda perlu menjawab satu soalan sahaja. Sebanyak 100 markah diperuntukkan untuk karangan Bahagian B. Anda perlu menjawab soalan ini dalam masa yang dicadangkan iaitu satu jam setengah / 90 minit. Panjang karangan anda hendaklah lebih daripada 350 patah perkataan. Terdapat dua bentuk soalan yang disoal iaitu karangan berformat dan karangan tidak berformat.

Teknik Menjawab

Penulisan Karangan

1. Bagi karangan Bahagian B, anda perlu menulis karangan melebihi 350 patah perkataan. 2. Bagi memastikan karangan anda pada tahap cemerlang, pastikan karangan anda mempunyai tujuh perenggan atau melebihi tiga muka surat. 3. Saya mencadangkan anda menulis perenggan pendahuluan dalam anggaran 70 patah perkataan, isi dalam anggaran 80 patah perkataan (80 X 5 isi = 400) dan penutup dalam anggaran 70 patah perkataan. 4. Jadi, jumlah keseluruhan karangan anda ialah 500 patah perkataan dan memenuhi kehendak arahan soalan

Kaedah Penulisan Isi dalam Karangan

Kaedah Penulisan Isi dalam Karangan

Karangan boleh diibaratkan seperti manusia yang mempunyai kepala, bahagian tengah dan anggota bawah untuk menjadi manusia yang lengkap fizikalnya. Begitu juga dengan karangan yang mana ia perlu ada pendahuluan, isi dan penutup.

Ketahui Lebih Lanjut
Kaedah Penulisan Bahasa dalam Karangan

Kaedah Penulisan Bahasa dalam Karangan

Bahasa sangat memainkan peranan yang sangat penting dalam menghasilkan sesebuah karangan. Hal ini demikian kerana selitan penanda wacana, ungkapan menarik dan peribahasa juga mampu menarik minat pembaca untuk membaca sesebuah karangan.

Ketahui Lebih Lanjut
Kaedah Penulisan Pengolahan dalam Karangan

Kaedah Penulisan Pengolahan dalam Karangan

Karangan yang baik harus diolah dengan mengembangkan isi iaitu menghuraikannya sambil mengemukakan bukti atau contoh yang sesuai.

Ketahui Lebih Lanjut
Kesalahan yang Sering Dilakukan oleh Pelajar

Kesalahan yang Sering Dilakukan oleh Pelajar

Semua orang pernah membuat silap. Begitu juga dengan pelajar yang menulis karangan. Pelajar sering melakukan kesalahan ketika menulis karangan tanpa menyedari yang mereka menggunakan aspek tatabahasa yang salah dalam penulisan karangan.

Ketahui Lebih Lanjut

           Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Ramai pelancong sama ada dari luar ataupun dalam memilih negara kita sebagai destinasi pelancongan. Kedatangan pelancong ke negara dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara kita. Pelancong yang datang dari negara luar harus menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh berbelanja di sini Persoalannya, apakah kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita?

           Antara kepentingan sektor pelancongan ialah kita dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di Malaysia kepada para pelancong. Malaysia mempunyai banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati terutamanya yang terletak di negeri Melaka. Di Kota A-Famosa pelancong bukan sahaja dapat menambahkan ilmu sejarah tetapi juga beriadah kerana tempat beriadah seperti Bandar Cowboy, Dunia Binatang Safari dan Dunia Air turut disediakan. Negara akan mendapat sumber pendapatan tambahan tanpa bergantung kepada sektor perindustrian, pertanian, dan pembalakan sekiranya sektor pelancongan dapat menambat hati dan menarik kedatangan para pelancong ke negara kita,. Jelasnya, sektor pelancongan dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di negara kita serta meningkatkan ekonomi negara.

            Selain itu, sektor pelancongan dapat mempromosikan makanan setempat di negara kita. Malaysia mempunyai beraneka jenis makanan yang digemari oleh pelancong. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia seperti Melayu, Cina dan India mempunyai kepelbagaian makanan berdasarkan kaum seperti yi sang, mi hailam dan char kuey teow daripada kaum Cina, rendang, ketupat dan nasi lemak daripada kaum Melayu dan capati, tosai dan idli daripada kaum India. Sekiranya, masyarakat Malaysia cakna dengan kepelbagaian masakan dan makanan tempatan serta mengambil kesempatan dengan kelebihan berkenaan dengan menyajikan menu berkenaan di premis mereka untuk dinikmati pelancong asing, sama ada di gerai-gerai makanan, restoran, dan hotel sudah pasti mereka dapat meningkatkan pendapatan sambil memperkasa sektor pelancongan. Tegasnya, makanan setempat dapat dipromosikan melalui sektor pelancongan untuk menggamit kehadiran pelancong asing.

      Di samping itu, sektor pelancongan dapat memperkenalkan dan mengembangkan industri kraf tangan di Malaysia. Kedatangan pelancong asing ke Malaysia bukan sahaja memajukan industri kraf tangan di negara kita bahkan menjadi periuk nasi kepada pengusaha kraf tangan tempatan. Barangan kraf tangan buatan rakyat tempatan bukan sahaja bermutu bahkan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Pelancong pasti membeli-belah barangan kraf tangan buatan Malaysia seperti batik, kain songket, wau dan lain-lain sebagai buah tangan atau ole-ole buat keluarga atau rakan mereka. Sekiranya promosi yang hebat dilakukan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia di samping promosi agen-agen pelancongan yang terdapat di negara kita, sudah pasti bukan sahaja pengusaha pelancongan sahaja yang menerima kesan dari segi pertambahan pendapatan mereka tetapi juga penduduk tempatan yang menjalankan perusahaan kecil dan kraftangan juga menerima tempiasnya. Jelasnya, industri kraf tangan dapat dimajukan melalui sektor pelancongan.

          Kesimpulannya, sektor pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi yang amat penting dalam negara kita. Oleh itu, kita harus menggunakan kelebihan yang ada pada negara kita dengan sepenuhnya supaya negara kita dapat menjadi pusat pelancongan yang terkenal di dunia dan seterusnya membangunkan ekonomi negara kita. Walaupun masyarakat kita terdiri daripada berbilang kaum, kita harus bersatu padu demi menjaga kepentingan tanah air tecinta kita. Tegasnya, kita perlulah bersatu-padu bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Jom kita belajar mengenai

Industri Pelancongan di Malaysia

Video ini akan menambahkan pengetahuan pelajar tentang industri sektor pelancongan di negara kita.

Penutup

Semoga pelajar dapat memahami dan mempraktikkan kaedah penulisan isi, bahasa dan pengolahan dalam menulis karangan fakta. Semoga laman sesawang ini memberikan manfaat kepada semua pembaca terutamanya pelajar. Pelajar perlu ingat bahawa karangan diibaratkan seperti manusia yang lengkap dengan kepala, anggota badan dan kaki. Begitu juga karangan yang perlu lengkap dengan pendahuluan, isi dan penutup. Semoga bermanfaat dan selamat maju jaya semua.

Penghargaan

Syukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya dapat saya menyiapkan tugasan yang diberikan kepada saya ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua individu yang telah membantu saya melaksanakan kerja saya ini secara langsung ataupun tidak langsung. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Dr. Nur Farahkhanna Binti Mohd Rusli selaku pensyarah subjek Aplikasi Komputer dalam Bahasa Melayu (BMP3093) ini atas bimbingan dan tunjuk ajar Dr. kepada saya. Tidak lupa juga kepada Prof. Madya Dr. Adenan bin Ayob atas segala perkongsian nota dan ilmu. Buat ibu bapa dan semua kawan-kawan saya, saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan dan dorongan mereka sehingga saya dapat menyiapkan tugasan saya ini. Saya juga ingin memohon sejuta kemaafan sekiranya terdapat kesilapan dan kekurangan dalam tugasan saya ini. Segala kekurangan harap dimaafkan. Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Sekian, terima kasih….

SITI AISHAH BINTI BAHARUM

D20171077700 ISMP BAHASA MELAYU DENGAN KEPUJIAN SEMESTER 2 SESI 2018/2019 FAKULTI BAHASA DAN KOMUNIKASI

I BUILT MY SITE FOR FREE USING